ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menggalakkan peladang menanam padi dalam perladangan skala besar menerusi Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) dan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sebagai usaha mendepani cabaran ekonomi.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata pelaksanaan PPSB dan SMART SBB dilihat boleh membantu untuk meningkatkan hasil padi menerusi pengurusan secara berpusat dalam skala besar sekali gus berpotensi melonjakkan pendapatan peladang.

Beliau berkata pelaksanaan program itu dapat menambah kecekapan pengurusan ladang dan mengatasi isu saiz ladang yang tidak ekonomik selain dapat memenuhi kekurangan tenaga kerja bidang pertanian kerana peladang berusia.

"Program ini juga membolehkan teknologi baharu bidang pertanian diperkenalkan selain kemudahan pembiayaan. Kepadatan infrastruktur di peringkat ladang turut memainkan peranan dalam pengeluaran padi.

"Kecekapan sistem pengurusan air serta akses kemudahan logistik seperti jalan dan lintasan ladang dapat memastikan kualiti hasil padi yang diperoleh," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar di sini baru-baru ini.

Dr Ismail berkata pihak MADA akan meningkatkan kepadatan infrastruktur daripada 18 meter kepada 30 meter sehektar dengan pembangunan sistem pengairan tersier melalui Projek Pemacu Pertanian (PPP).

Selain itu, katanya peladang juga digalakkan terlibat dalam bidang keusahawanan seperti pemprosesan makanan, ternakan, tanaman sampingan dan agropelancongan sebagai tambahan sumber pendapatan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

Sementara itu, beliau berkata MADA menyambut baik cadangan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melaksanakan penanaman padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan pengeluaran padi negara sekali gus tahap sara diri (SSL) beras negara.

Ismail ketika ditemubual di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar, baru-baru ini. --fotoBERNAMA

"Aktiviti penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun pernah dilaksanakan di Kawasan Muda pada 2016. Sehingga kini, pihak MADA telah melaksanakan penanaman padi lima kali ini di kawasan seluas 213.99 hektar yang melibatkan 165 peladang," katanya.

Dr Ismail berkata pihak MADA mendapati seluas 30,000 hektar sawah di Kawasan Muda berpotensi untuk dilaksanakan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun itu secara berperingkat dengan perancangan menambah baik infrastruktur pembinaan sistem tersier di kawasan berkenaan.

Beliau berkata teknologi yang bersesuaian juga memainkan peranan untuk penghasilan padi bagi tempoh lima kali itu bagi memastikan tanaman padi dapat dilaksanakan dengan baik contohnya seperti penggunaan varieti tempoh matang pendek.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata MADA menyumbangkan ilmu serta tenaga berkaitan amalan penanaman padi serta penggunaan teknologi kepada peladang di Kawasan Muda yang melibatkan seramai 57,635 orang sehingga kini.

"MADA telah berubah menjadi rangkaian nilai industri padi negara yang mempunyai segala keperluan termasuk menghasilkan benih, penggunaan teknologi tinggi dan memiliki kilang baja serta beras.

"Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia yang merangkumi kawasan seluas 130,282 hektar yang 100,685 hektar ialah kawasan penanaman padi yang terletak di Kedah dan Perlis," katanya.

-- BERNAMA